Sunday, January 10, 2010

PENISTAAN PALING DURJANA – suatu pandangan

Dalam hari-hari sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengenai kes yang dibawa oleh Titular Roman Catholic Archbishop, masyarakat Melayu-Islam , Cina-Islam, India- Islam , dan bangsa lain-Islam didodoi dan dilalai dengan daayah beberapa kumpulan yang memutarbelitkan fakta dan keterangan-keterangan yang telah diperjelaskan oleh Allah dalam Al-Quran. Apakah kes itu? Siapakah yang memutarbelitkan? Apakah kesan kepada kedudukan orang Islam dan ke atas hati budi orang Melayu khasnya dan bangsa lain umumnya. Paling durjana ialah kesan ke atas aqidah yang akan disogok kepada anak cucu kita, lalu memesongkan erti kehidupan dan kegiatan seharian.

Kes berkenaan ialah permohonan untuk mendapat kebenaran mahkamah guna kalimat Allah dalam kitab injil tajaan mereka dalam penerbitan edisi Bahasa Melayu. Kumpulan bukan Islam berwewenang menghujjah bahawa mereka juga berhak guna kalimat suci itu untuk merujuk kepada Tuhan yang mereka faham. Kumpulan ahli politik dengan sokongan dan dokongan cerdik pandai berbayar dan bertaut politik kepartaian pula mengiakan tuntutan mereka secara perundangannya tidak salah jika mereka mahu guna kalimat tersebut. Buat permulaan penerbitan Catholic weekly Herald akan mula guna kalimat Allah tatkala merujuk kepada Tuhan atau Dia yang kudus atau dalam bentuk apa pun yang mereka rasa perlu. Inilah penistaan paling durjana pertama.

Seperti yang dijangka, ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31.12.2009, terlahirlah (nauzubillah) istilah atau rangkaikata “anak Allah”untuk padanan bahasa Melayu kepada frasa Inggeris Son of God atau Allah’s son. Jesus Christ pula bolehlah diterjemahkan kepada ‘Anak Allah’. Inilah penistaan paling durjana kedua. Sekadar berkongsi pengalaman yang cukup mendebarkan degupan jantung, kami kesan ada bangunan yang dinamakan Gereja Tetamu Allah di Manado, Indonesia. Bayangkan nanti ada gereja namanya sedemikian di Malaysia. Degupan jantung orang Islam mana yang mampu bertahan? Kita besar kemungkinan sudah mati pada masa itu. Namun anak cucu kita masih ada. Apakah jawapan kita tatkala ditanya Allah akan hal ini nanti? Apakah sumbangan kita.

Sungguh malang bagi kita umat Islam tatkala menyambut dan meraikan Maal Hijera 1431, dua penistaan paling durjana menimpa memecahbelahkan masyarakat. Paling menakutkan pula ialah gerhana bulan yang mengiringi majlis sambutan yang begitu jelas mengungkapkan keesaan Allah diselubungi gerhana penistaan dengan keputusan mahkamah tinggi (untuk kes ini dihakimkan oleh orang bukan Islam) tanah air kita menistakan keesaan Allah pula. Bagaimana hal sebegini boleh terjadi di negara yang agama rasminya Islam? Jelas sekali hasil pensekonkolan kumpulan-kumpulan yang bermain-main dan mempersendakan hati-budi rakyat Melayu-Islam. Apa kah tidak terang lagi nyata kepada mereka apa yang Allah sendiri tegaskan dalam Al-Quran surah Al-Ikhlas dan dalam beberapa surah lain bahawa Allah itu satu, tiada yang berhak disembah kecuali Allah, yang awal dan yang akhir, tidak beranak atau diperanakkan, tiada apa pun serupa Allah. Pensekonkolan kumpulan-kumpulan berkenaan merupakan penistaan paling durjana ketiga. Kami doakan mereka baliklah ke pangkal jalan.

Sukacita diingatkan bahawa mempersendakan (dengan kata atau perbuatan) Allah adalah dosa paling durjana terhadap Allah. Inikan pula menduakan Allah apabila mengiakan apa yang hendak diperkatakan terhadap Allah oleh musuh-musuh Allah. Apakah pesekongkol yakin mereka boleh terlepas daripada hari mati dan hari perhitungan dan hari pembalasan di mana semua anggota kita diberi laluan oleh Allah menjadi saksi mengenai apa yang tuan empunya tubuh badan lakukan? Kerajaan Allah tetap wujud didunia dan di akhirat. Sukacita juga diingatkan bahawa Allah maha pemurah lagi maha pengasih. Jalan untuk balik ke pangkal jalan luas terbuka dengan izin Allah jua. Kami yakin siapa yang bersubahat dan sedar akan keterlanjuran boleh meminta maaf kepada Allah dan perbetulkan kesalahan lalu berjanji bukan dengan rakyat Malaysia tetapi dengan Allah untuk mengesa pihak Mahkamah rayuan mengembalikan Allah di tempat asal seperti yang Allah sendiri tegaskan dalamAl-Quran. Tidak ada sedikit pun kelebihan jasmani atau ketenangan rohani mahu pun keuntungan dengan terus berdegil seraya mengikut gara-gara syaitan bertaut bisikan kesenangan dunia serta janji-janji manis, minal jinn natiwan nas, daripada golongan jinn dan manusia (surah An-Nas, ayat akhir). Kami yakin hal ini jika tidak diperbetulkan, nescaya bala bencana yang akan diperturunkan Allah swt. Kami yakin juga bahawa umat Islam akan terus berusaha sehingga kesemua penistaan paling durjana dicabut daripada pengunaan dalam masyarakat malah dalam pemikiran ahli masyarakat. Marilah kita bersatu untuk betul-betul bergerak dalam satu barisan, satu saf dengan dilindungi satu Allah. Tiada lain yang berhak disembah kecuali Allah. Wallahulam. Semoga Allah swt memaafkan kita semua sebelum terlanjur di perkuburan.

Demikian lah usaha kita sebagai abdi kepada Allah yang maha esa. Daripada Allah kita didatangkan dan kepada Allah jua kita dipulangkan. Salam hormat untuk teman-teman seperjuangan.

Nota: Maklum balas setakat ini secara lisan ialah seperti berikut:

  1. Tidak ada senarai rujukan
  2. Penulis bukan ulama’ atau ahli bidang
  3. Ada sedikit unsur perasaan dalam penulisan

Sekian dulu

Wantar, FST, UKM

Artikel ini adalah sumbangan ikhlas:
Profesor Dr.Wan Mohtar Wan Yusoff